Peranan Inggeris Perang Tok Janggut

Apabila Sultan Muhammad IV mendengar persiapan perang Tok Janggut, Baginda telah bermesyuarat dengan pembesar negeri termasuk juga Penasihat British dan mesyuarat telah mengambil keputusan untuk meminta bantuan kerajaan Inggeris untuk menghadapi ancaman Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya.

Gabenor Sir Arthur Henderson Young di Singapura telah menghantar sebuah kapal perang dengan seramai 150 orang askar ke Kelantan untuk memenuhi permintaan kerajaan Kelantan. Pada 10 Mei 1915, askar tersebut telah sampai ke Kota Bahru dan sampai di Pasir Putih tiga hari kemudian. Walaubagaimanapun, mereka gagal untuk menemui Tok Janggut dan rakan-rakanya yang telah menyembunyikan diri dan tidak mahu melawan askar tersebut secara berhadapan. Pada 17 Jun 1915 askar tersebut kembali ke Kota Bahru dan menunggu seminggu di sana sebelum kembali ke Singapura.

Pada bulan yang sama, sepasukan askar Inggeris seramai 100 orang yang terdiri daripada askar Sikh dan sukarelawan Melayu telah dihantar ke Pasir Putih. Setelah gagal sekali lagi untuk menemui Tok Janggut dan rakan-rakannya, askar tersebut telah mengambil tindakan merampas harta benda, membinasakan sawah padi serta membakar rumah penduduk di Jeram, Pasir Putih termasuk rumah Tok Janggut, Haji Said dan Ishak. Istana Tengku Besar Jeram juga turut dibakar.